Perpindahan! Alamat Laman Blog

Isnin 22 Julai 2013 | Adalah dengan ini diumumkan bahawa laman blog OUM Johor dengan platform percuma (http://blogOUMjohor.blogspot.com) akan ditamatkan perkhidmatannya secara berperingkat-peringkat bermula hari ini! Tindakan ini diambil berikutan dengan keputusan pihak kami untuk mengaktifkan laman blog OUM Johor dengan menggunakan platform rasmi Open University Malaysia, iaitu secara rasminya bermula pada esoknya Selasa 23 Julai 2013. Anda semua dijemput untuk singgah ke laman blog kami yang baru berkenaan melalui link berikut (http://johor.oumblog.com). Apapun, kami tetap ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas perkhidmatan percuma yang telah disediakan Blogger.com selama ini. Tanpa perkhidmatan tersebut, tidak mungkin blog OUM Johor dapat disediakan dengan sedemikian rupa. Terima kasih!

Selamat Menyambut Ramadhan 1434H/2013

Rabu 10 Julai 2013 | Bersempena dengan kedatangan Ramadhan 1434H ini, pihak pengurusan OUM Johor ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua pelajar-pelajar Muslim. Marilah kita bersama-sama menggandakan amal dan ibadah kita di bulan mulia ini. Kerana sesungguhnya, Allah s.w.t. telah berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa" (Surah Al-Baqarah, Ayat 183). Bersama-samalah kita menjadi hambaNya yang diredhai, InsyaAllah. [MLA]

Promosi PPG Ambilan (Terakhir) September 2013

Selasa 2 Julai 2013 | Bermula pada hari ini, OUM Johor dengan kerjasama Unit Latihan, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah memulakan siri taklimat dan promosi-pemasaran khas untuk pengambilan terakhir pelajar-pelajar baru bagi mengikuti Program Pensiswazahan Guru (PPG). Guru-guru yang mengikuti program ini akan mendapat tajaan penuh oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pendidikan Malaysia. Siri taklimat ini dilangsungkan mengikut zon sebagaimana ketetapan pihak JPNJ. Antaranya ialah (i) Zon 1 (Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, Pasir Gudang, Kulaijaya dan Pontian) pada hari ini, (ii) Zon 2 (Batu Pahat dan Segamat) pada Rabu 3 Julai 2013, (iii) Zon 3 (Muar) pada Isnin 8 Julai 2013, dan (iv) Zon 4 (Kota Tinggi, Mersing dan Kluang) pada Selasa 9 Julai 2013. Diharapkan dengan sesi-sesi penerangan ini, peluang-peluang untuk guru-guru bukan siswazah untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat ijazah sarjana muda dapat dibukaluaskan lagi, selaras dengan hasrat kerajaan untuk guru-guru sekalian. [MLA]





Staf Baru - Rosli Bin Yusof

Selasa 2 Julai 2013 | Hari ini, OUM Johor telah menerima seorang lagi staf baharu. Beliau adalah Encik Rosli Bin Yusof, sebagai Eksekutif di OUM Mersing. Sebagai permulaan, beliau akan menjalani "on-job training" bertempat di OUM Johor. Kepada Encik Rosli, pihak pengurusan dan seluruh warga kerja OUM Johor mengucapkan Selamat Datang dan Selamat Bertugas! Diharapkan dengan penyertaan beliau, akan menambahkan lagi produktiviti keseluruhan pasukan OUM Johor. [MLA]

Lawatan Penilaian Akreditasi Penuh MOSHRM

Ahad 30 Jun 2013 | Bagi tujuan melengkapkan proses Permohonan Akreditasi Penuh ke atas program pengajian Master of Occupational Safety And Health Risk Management (MOSHRM), pihak OUM Johor telah menerima kehadiran delegasi daripada Malaysia Qualifications Agency (MQA). Delegasi berkenaan terdiri daripada Encik Abdul Razak Mohamed (MQA), Prof Madya Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Dr Mohd Yusoff Adon (Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia). Sementara itu, Puan Suhaila Abdul Hamid (Koodinator Program MOSHRM, Fakulti Sains & Teknologi, OUM Kuala Lumpur) juga turut hadir sama. Sesi penyeliaan ini telah mendapat kerjasama baik dari kalangan pelajar-pelajar dan juga fasilitator berkenaan. Semoga program ini akan mendapat akreditasi penuh, sekaligus memastikan program ini dapat diterima sepenuhnya di dalam dan luar negara kelak. Kepada semua pihak yang terlibat, pihak OUM Johor mengucapkan ribuan terima kasih. [MLA]

Lawatan GMC

Jumaat 21 Jun 2013 | OUM Johor telah menerima kehadiran Prof Ir Dr Rosli Hamir (Naib Presiden - Pengurusan Pelajar & Pembangunan Kampus) Open University Malaysia dan Puan Kamariah Mohd Noor (Pendaftar). Selain untuk berjumpa dengan staf-staf, kehadiran kedua-dua ahli Group Management Commitee (GMC) ini juga adalah untuk mengadakan sesi temubual bagi mengisi beberapa kekosongan jawatan khususnya di PP Johor. [MLA]

Pembukaan OUM Mersing

Sabtu 15 Jun 2013 | Mulai pada hari ini, OUM Mersing telah memulakan operasinya, dengan menyewa premis di Politeknik Mersing. Seramai 20 orang pelajar baru telah melapor diri dan mendaftar. Sesi pendaftaran telah dikendalikan oleh Encik Nizam Md Nor. Perasmian program Bengkel Kemahiran Belajar (BKB) telah disempurnakan sendiri oleh Encik Abdul Rahim Mohamed Amin (Pengarah), sementara sesi-sesi taklimat BKB dikendalikan pula oleh Encik Mohd Lokman Abdullah (Timbalan Pengarah). Pelajar-pelajar baru ini telah mengikuti program pengajian Bachelor of Islamic Studies (Islamic Management) With Honours (BIS) dan Diploma In Islamic Studies With Education (DISE). Mereka terdiri daripada kalangan Guru-guru Agama Kerajaan Negeri Johor yang sedang bertugas di Sekolah-sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor. Mereka adalah merupakan guru-guru yang telah hadir menyertai Seminar Guru KAFA Mersing pada 19 Februari 2013 yang lepas. Antara hasrat OUM ialah untuk menjadikan OUM Mersing sebagai pilihan pelajar yang berada di Daerah Mersing, Daerah Kluang (selatan), Kota Tinggi (utara), Endau, dan sehinggalah ke Daerah Rompin (Pahang). Sesi perkuliahan pertama pula akan dimulakan pada hari esoknya Ahad 16 Jun 2013. Semoga kumpulan pelajar yang pertama ini akan menjadi contoh kepada bakal-bakal pelajar yang lain untuk memilih OUM sebagai institusi pilihan bagi mereka meneruskan pengajian mereka. Tahniah diucapkan kepada semua pihak, di atas kejayaan merealisasikan pembukaan OUM Mersing ini! [MLA]